SU Agung Pas: Bai’ah kaedah perjuangan Islam
SHAH ALAM – Bai’ah bukan perkara baru dalam Pas malah ia syarat yang menjadi kaedah perjuangan Islam untuk mengelak berlakunya penyelewengan dalam kalangan pemimpin setelah mendapat kuasa.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, bai’ah telah menjadi kepentingan dalam Pas dan dipraktikkan setelah seseorang dilantik menjadi calon dalam pilihan raya.
“Selama ini memang Pas praktikkan bai’ah. Setiap calon wajib berbai’ah Hanya individu yang telah dicalonkan sahaja dibenarkan berbaiah, belum jadi calon tidak boleh bai’ah.
“Anggapan bahawa bai’ah suatu tindakan tidak wajar adalah tidak tepat kerana ia bertujuan memberi syarat kepada seorang pemimpin untuk menunaikan janji mempertahankan Islam, tidak menyeleweng perintah ALLAH dan Rasul,” katanya kepada Sinar Harian.
Mustafa bagaimanapun memberitahu tidak mengetahui kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang disiarkan media arus perdana semalam berhubung bai’ah bagi calon Pas yang akan bertanding dalam pilihan raya umum kali ini.
“Perkara yang dimaksudkan itu benar, tetapi saya tidak dengar apa-apa kenyataan daripada Datuk Seri Abdul Hadi berhubung perkara ini kerana belum tiba masanya untuk mereka (calon) berbaiah,” katanya.
Ditanya mengenai kesan sekiranya melanggar bai’ah, Mustafa berkata, setakat ini perkara demikian belum berlaku dan tidak boleh memutuskan sama ada Pas akan memecat individu berkenaan atau sebaliknya.
“Jika seseorang langgar sumpah (bai’ah), dia sendiri yang akan tahu kesan yang akan menimpanya. Saya belum dapat putuskan sama ada Pas akan pecat dari parti atau tidak,” katanya.
Sambil mengulas bahawa Umno tidak pernah menerima kaedah bai’ah kerana parti itu dianggap tidak memperjuangkan Islam, Mustafa menyifatkan kebelakangan ini, bai’ah dilihat sebagai keperluan kepada parti lawannya itu.
“Kalau tidak masakan Najib (Datuk Seri) menyebut perkataan bai’ah ketika konvensyen mereka yang terakhir. Mungkin dia rasa bai’ah pun dah jadi satu keperluan kepada dia dan Umno,” katanya.
Dalam kenyataan sebelum ini, Abdul Hadi dilaporkan berkata, setiap calon Pas yang bertanding dalam pilihan raya diwajibkan berbai’ah, sekiranya mengingkari pengakuan itu, akan celaka dunia dan akhirat.
Beliau juga menyifatkan bai’ah sebagai satu bentuk pengakuan yang lebih besar dan berat dari bersumpah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan