Nasrudin Hassan
KUALA LUMPUR – Pas meminta Pengerusi DAP, Karpal Singh tidak mempolemikkan isu sambutan Hari Kekasih kerana apa yang ditentang Pas, bertepatan dengan perjuangan mereka dalam Pakatan Rakyat.
Ketua Pemuda Pas, Nasrudin Hassan berkata, Karpal tidak perlu mempersoalkan pendirian Pas kerana mereka tidak pernah menghalang masyarakat bukan Islam daripada meraikannya.
 
“Pemuda Pas konsisten dalam menegaskan isu ini kerana ia bukanlah ajaran Islam, tetapi kita tidak larang orang bukan Islam menyambutnya.
 
 “Apa yang menjadi fokus adalah umat Islam terutamanya generasi muda. Orang Islam punya cara tersendiri meraikan kasih sayang antara suami isteri dan kekasih. Tidak perlu ada hari tertentu untuk meraikannya,” katanya di Ibu Pejabat Pas, semalam.
 
Katanya, sebagai parti memperjuangkan Islam, pihaknya bertanggungjawab menentang sambutan itu terhadap umat Islam. 
 
Pendirian itu turut disokong oleh Timbalan Ketua Pemudanya, Nik Abduh Nik Abdul Aziz.
 
Ahad lalu, Karpal yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor berkata, pendirian Pas menentang sambutan Hari Kekasih bukanlah satu pendirian yang baik.
 
Beliau berkata, pihaknya kecewa dengan tindakan Pas yang bertentangan dengan hak asasi manusia dan prinsip kebebasan.
 
Beliau juga menggesa Pas menarik balik pendirian tersebut sebelum 14 Februari.
 
Menurut Nasrudin, Pemuda Pas sentiasa menghormati hak orang lain dan mereka tidak akan campur tangan dalam urusan agama lain, sebaliknya mereka menegur sikap golongan muda Islam yang meraikan sambutan Hari Kekasih.
 
“Jika Karpal mahu bercakap soal hak asasi dan hak individu dalam meraikan sesuatu sambutan, maka beliau juga perlu menghormati umat Islam yang terikat dengan tatacara digariskan dalam Islam. Itu yang kita tegaskan dan Karpal perlu memahami perkara ini,” katanya.
 
Katanya, Majlis Fatwa jelas menyatakan umat Islam dilarang meraikan sambutan Hari Kekasih itu kerana ia bukan daripada ajaran Islam.