Bakar al-Quran: Presiden Obama mohon maaf
KABUL - Presiden Barack Obama memohon maaf semalam berikutan tindakan membuang dan membakar beberapa nakshah al-Quran oleh tenteranya di Afghanistan sementara demonstrasi anti-Amerika Syarikat (AS) berlarutan buat hari ketiga berturut-turut, semalam.
Ia tindakan terbaru diambil oleh kepimpinan tertinggi AS selepas permohonan maaf dibuat oleh Setiausaha Pertahanannya dan juga panglima tenteranya di Afghanistan.
Demonstrasi kali ini menyebabkan dua askar anggota tentera Nato dan sekurang-kurangnya lima rakyat Afghanistan terbunuh.
Seramai 26 lagi rakyat Afghanistan cedera di seluruh negara itu.
Ketika satu demonstrasi di luar pangkalan tentera AS di Khogyani, sebelah timur wilayah Nangarhar, seorang penunjuk perasaan dengan mengenakan uniform tentera Afghanistan melepaskan tembakan, menyebabkan dua askar pakatan tentera Nato terbunuh, demikian menurut pegawai-pegawai.
Jurucakap White House, Jay Carney berkata, Obama menulis surat tiga halaman kepada Presiden Afghanistan, Hamid Karzai dengan melahirkan "rasa kesal dan memohon maaf berhubung tindakan tidak wajar dan cara mengendalikan bahan-bahan berkaitan dengan agama."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan