SHAH ALAM - Pemuda Pas mendakwa kerajaan yang dipimpin Barisan Nasional (BN) tidak mampu mengurus ekonomi negara ini dengan baik.
Ini berikutan hutang negara terbaru berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang dilaporkan Ketua Audit Negara mencapai 53.7 peratus.
 
Unjuran itu satu kedudukan cemas bagi sebuah negara berpendapatan sederhana seperti Malaysia. 
 
Ketuanya, Nasrudin Hassan berkata, sekiranya pencapaian ekonomi negara dipertimbang berasaskan kepada pertimbangan model ekonomi semasa, Malaysia tergolong kategori negara sedang membangun dan berpendapatan sederhana. 
 
Menurutnya, dari segi KDNK nominal, Malaysia berada kedudukan 37 de­ngan KDNK berjumlah AS$237 bilion (RM723 bi­lion) dan pendapatan perkapita berjumlah AS$7,775.00 (RM21,000) iaitu pada kedudukan ke 65. 
 
“Kedudukan Malaysia dari segi KDNK (nominal) perkapita ini berada empat anak tangga di bawah purata pendapatan perkapita dunia. Jauh untuk menyaingi negara industri baru seperti Hong Kong, Korea Selatan, Singapura dan Taiwan.
 
“Berdasarkan kepada pencapaian tersebut, di samping pacuan dan hambatan ekonomi semasa, adalah sukar dalam tempoh kurang daripada sembilan tahun akan datang Malaysia boleh mencapai status negara maju 2020,” katanya, semalam.
 
Nasrudin berkata, usaha kerajaan untuk mempelbagaikan sumber pendapatan negara ini menemui jalan buntu, sehingga terpaksa ‘memecah tabung rak­yat’ bagi menampung perbelanjaan defisit yang terus berlanjutan. 
 
“Sumber pendapatan negara kini ialah de­ngan memotong subsidi, me­ngenakan cukai baru dan memburu pesalah trafik. Semua situasi seperti ini dapat disimpulkan de­ngan pandangan Idris Jala, bahawa hutang negara boleh mencapai RM1 trilion menjelang 2019 dan boleh membawa kepada status muflis. 
 
“Lebih 50 tahun lalu, rakyat didendangkan de­ngan keajaiban kerajaan BN mengurus ekonomi negara. Pada 1990, rakyat didodoikan pula dengan lagu Wawasan 2020 menjanjikan sebuah negara maju menjelang 2020.
 
“Hari ini semakin tersingkap bahawa slogan itu sekadar dendangan yang membuaikan rak­yat Malaysia dengan impian yang tidak kesampaian,” katanya. 
 
Menurutnya, situasi gawat ini jelas menunjukkan kelemahan BN dalam mentadbir ekonomi negara.