Nasrudin Hasan
KUALA LUMPUR - Dewan Pemuda Pas hari ini membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi di sini berhubung kenyataan berbaur fitnah Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said mendakwa ia sebuah "Parti Ajaran Sesat".
"Kenyataan tersebut jelas berbaur fitnah dan tidak benar," kata Ketua Pemuda Pas, Nasrudin Hassan selepas aduan polis dibuat.
Selain ia disifatkan berniat jahat, Dewan Pemuda Pas turut merasakan kenyataan tersebut mampu mengundang provokasi, hasutan, perpecahan di kalangan masyarakat serta hilang kepercayaan ahli dan bukan ahli Pas terhadap parti itu kerana kenyataan tersebut menjurus kepada kerosakan akidah dan sensitiviti umat Islam di negara ini.
"Pas sebagai sebuah parti politik yang berdaftar dengan sah di bawah undang-undang negara sejak lebih 50 tahun dan menjadi kerajaan di beberapa buah negeri, kenyataan Datuk Seri Ahmad Said ini sangat tidak berasas dan langsung tidak bertanggungjawab", kata Nasrudin.
Sehubungan itu katanya, Dewan Pemuda Pas mahu tindakan undang-undang diambil terhadap  Ahmad dan pihak-pihak lain yang terlibat dalam mengeluar, mencetak, menerbit dan mengedarkan kenyataan fitnah tersebut.
"Saya percaya kenyataan fitnah jahat seperti in merupakan satu kesalahan yang jelas dan nyata di sisi undang-undang negara  dan tindakan perlu diambil dengan segera oleh pihak Polis," tambah beliau.