KUALA LUMPUR - Pemuda Pas semalam menghantar memorandum bantahan promosi Hari Kekasih secara besar-besaran di media-media utama kepada Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Memorandum itu diserahkan Setiausaha Pemuda Pas, Khairul Faizi Ahmad Kamil kepada Setiausaha Akhbar Menteri, Norazli Noh yang mewakili Rais, yang terpaksa menghadiri acara di tempat lain, di Bangunan Sultan Abdul Samad di sini.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Khairul Faizi berkata, Dewan Pemuda Pas meminta Rais mengambil tindakan memantau dan bertindak sekiranya wujud kempen promosi Hari Kekasih menerusi pengiklanan di televisyen, radio dan akhbar pada sepanjang bulan ini.

Katanya, Pemuda Pas bimbang promosi secara besar-besaran dan berterusan untuk meraikan acara itu pada 14 Februari ini akan menggalakkan orang ramai khususnya umat Islam terjebak dalam kegiatan maksiat.