kafa
IPOH – Seramai 3,120 guru Kafa seluruh negeri Perak menerima bonus khas bernilai RM500 setiap seorang daripada pihak Kerajaan Negeri atas usaha dan sumbangan yang telah dicurahkan.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, bonus khas tersebut diberikan setelah Kerajaan Negeri membuat perkiraan dan ia sekali gus adalah tanggungjawab yang perlu dilaksanakan kepada golongan berkenaan.

“Malah pemberian bonus ini juga sebenarnya tidak ada sebarang kaitan dengan Kerajaan Persekutuan kerana ia adalah inisiatif Kerajaan Negeri untuk mengiktiraf sumbangan guru-guru Kafa seluruh Perak,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penyampaian Cek Bantuan Pembangunan dan Pengurusan Sekolah Agama Rakyat (SAR) Kafa Negeri Perak daripada Kementerian Pelajaran Malaysia dan Anugerah Kecemerlangan Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK), di sini semalam.

Beliau berkata, pemberian bonus khas tersebut melibatkan peruntukkan sejumlah RM1.56 juta daripada pihak Kerajaan Negeri.

“Kita amat berharap agar semua guru-guru Kafa ini dapat berkhidmat dengan cemerlang selain berupaya meningkatkan prestasi dan produktiviti dalam mendidik murid-murid,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Zambry berkata, Kerajaan Negeri telah menerima surat daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi menaik taraf Kolej Islam Darul Ridzuan kepada kolej universiti.

“Terima kasih kepada KPT kerana berdasarkan penilaian yang mereka lakukan terhadap kemampuan kepada Kolej Islam Darul Ridzuan ini.

“Kita sedang dalam peringkat melihat keperluan-keperluan bagi meningkatkan taraf kolej tersebut,” katanya.

Tambah beliau lagi, Menjadi dasar besar Kerajaan Negeri untuk mewujudkan lebih banyak peluang-peluang pendidikan malah ia selaras dengan dasar Perak untuk menjadikan Perak sebagai hub pendidikan di Malaysia.

“Dengan adanya keputusan ini, yang membenarkan kita menaik taraf, maka kita akan mempunyai sebuah lagi universiti di Perak,” katanya.

Dalam perkembangan lain Zambry turut menyerahkan replika cek bernilai lebih RM 14 juta daripada kementerian kepada Mohd Yusop untuk diagihkan kepada 660 SAR seluruh Perak.