nizar
IPOH - Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menyatakan kesudiannya untuk berdebat dengan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir pada bila-bila masa seperti yang dicadangkan Pemuda Pas Negeri semalam.

Mohammad Nizar berkata, cabaran debat itu satu saranan yang baik untuk memperlihatkan aspirasi PR dan BN kepada rakyat.

Katanya, beliau sedang menunggu tawaran untuk bersemuka dalam satu pentas perdebatan dengan Zambry.

“Saya sedia debat pada bila-bila masa, lebih-lebih lagi menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 ini. Sudah pasti rakyat ingin tahu aspirasi PR dan BN.

“Ini (debat) sesuatu yang baik bagi menjelaskan sebarang kemusykilan dan kekeliruan rakyat terhadap pelbagai isu yang timbul sejak akhir-akhir ini,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Mohammad Nizar berkata, selain menjelaskan aspirasi parti yang diwakili masing-masing, ruang lingkup perdebatan juga boleh menjurus kepada pencapaian BN selama lebih 50 tahun di Perak dan 11 bulan PR di negeri ini.

Beliau berkata, kedua-dua pemimpin juga boleh menyatakan harapan untuk masa depan rakyat Perak supaya ia boleh dinilai sendiri.

“Pada masa yang sama, sesi soal jawab turut diberikan kepada orang ramai yang hadir bagi mengungkai segala persoalan dan pertanyaan berkaitan isu berbangkit.

“Saya harap debat ini dapat direalisasikan dan ia dapat dibuat di tempat terbuka yang boleh dihadiri rakyat,” katanya yang sebelum ini pernah menerima pelawaan debat seumpama itu dua tahun yang lalu.

Cadangan debat antara Mohammad Nizar dan Zambry timbul selepas kejayaan mempertemukan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.