guru ditukar
IPOH – Seorang guru di sebuah sekolah menengah terkenal di sini mendakwa ditukarkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak dalam tempoh 24 jam tanpa sebab serta diarah melapor diri ke sekolah lain.


Lebih malang lagi, guru berkenaan diarahkan melapor diri sehari selepas surat dikeluarkan dan ia berkuat kuasa serta-merta hingga mengakibatkan guru berkenaan tidak membuat sebarang persiapan untuk bertukar.

Suami guru berkenaan, S Saravanan, 43, berkata, isterinya menerima surat pertukaran pada 18 Januari lalu dan menyatakan pertukaran berkenaan tidak mengikut prosedur yang sepatutnya.

“JPN dalam surat PPDKU/01/09/005-2 bertarikh 17 Januari lalu mengarahkan isteri saya bertukar nyata tidak mematuhi prosedur kerana tidak memberikan sebab munasabah, tidak mengadakan perbincangan dengan pihak terkilan selain menunjukkan tidak profesional dalam mengendalikan isu ini.

“Secara amnya, jika seseorang kakitangan kerajaan yang dikenakan tindakan tatatertib sahaja yang dikenakan tindakan sebegini namun sepanjang isteri saya berkhidmat, beliau tidak mempunyai apa-apa masalah disiplin,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Saravanan berkata, pihaknya mengambil keputusan mendapatkan penjelasan dan sebab pertukaran isterinya namun sehingga ke hari ini semua pihak hanya mendiamkan diri.

“Pada 19 Januari saya ke Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk berjumpa dengan pihak yang mengeluarkan surat namun beliau tiada di pejabat.

“Kemudian saya berjumpa pihak penyelia pengurusan guru untuk mendapatkan maklum balas namun pihaknya mengakui tidak tahu menahu tentang pertukaran tersebut dan berjanji akan menjalankan siasatan.

“Saya kembali ke sekolah tempat isteri mengajar berjumpa pengetuanya dan pihaknya menyatakan ia perkara biasa malah merupakan pergerakan guru tetapi beliau tidak boleh menjelaskan rasional pertukaran guru kurang dari 24 jam yang tidak mempunyai rekod tatatertib.

“Kami sekali lagi ke JPN pada 25 Januari untuk mendapatkan maklumat namun pihak berkenaan menyatakan tidak mempunyai maklumat berkenaan pertukaran dan akan melakukan siasatan,” katanya.

Menurutnya, selepas gagal mendapatkan jawapan, pihaknya menghantar surat kepada Menteri Pelajaran dan salinan kepada Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Ketua Nazir Sekolah, Ketua Pengarah Biro Pengaduan Awam dan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP).

“Saya mengambil keputusan untuk pergi ke peringkat lebih tinggi apabila gagal mendapatkan sebarang maklum balas daripada JPN dan PPD namun sehingga hari ini tiada makluman yang diterima daripada pihak berkenaan.

“Saya mahukan penjelasan mengapa isteri saya dipindahkan secara begini kerana ia adalah jelas satu pencabulan hak asasi dan keadilan asasi dalam negara yang berperlembagaan,” katanya.

Beliau menambah, hingga kini isterinya mengalami kemurungan dan reputasi kerja termasuk ketenteraman peribadi serta keluarga hambar.

Lebih mengejutkan, katanya, ketika isterinya melaporkan diri ke sekolah baru, pengetua sekolah berkenaan terkejut kerana tidak menerima sebarang makluman pertukaran dan tidak boleh melapor diri selagi surat arahan tidak diterima pihak sekolah.

“Jadi isteri saya ditukarkan hanya dengan sepucuk surat yang diberikan kepadanya dan selepas 26 Januari barulah pihak sekolah menerimanya daripada JPN.

“Apa makna semua ini, jadi saya pohon perkara ini disiasat dan saya melihat terdapat penyalahgunaan kuasa berlaku malah mereka yang berkenaan perlu dikenakan hukuman jika terbukti bersalah,” katanya.