logo -Pas kedah4mac
Phahrolrazi Zawawi
SHAH ALAM - Perbincangan misi damai lebih lima jam di kediaman rasmi Menteri Besar di Alor Setar, yang berakhir awal pagi tadi, dipercayai telah mencari formula menjernihkan kemelut kepimpinan Pas Kedah - pastinya buat sementara waktu ini - dengan dua pemimpin parti yang sebelum ini menolak tawaran pelantikan semula sebagai Exco, akan kekal dengan jawatan mereka dalam barisan pentadbiran kerajaan negeri.
Sinar Harian Onlinedifahamkan, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi dan Dr Ismail Salleh, yang menjadi fokus kontroversi kepimpinan Pas Kedah,  sudah bersedia untuk menerima formula penyelesaian yang diusahakan oleh Pas Pusat dan kekal sebagai Exco.
Tempoh kedudukan mereka sebagai Exco sebenarnya hanya akan berakhir 7 Mac ini.
Kedua-dua Phahrolrazi dan Dr Ismail masing-masing turut memegang jawatan Timbalan Pesuruhjaya Pas Kedah. Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak merupakan Pesuruhjaya Pas Kedah.
Pada minggu lalu, hanya lapan orang mengangkat sumpah sementara kedua-dua mereka dilaporkan telah menolak tawaran pelantikan semula sebagai Exco atas alasan berhadapan dengan persekitaran kerja yang kritikal dan tidak boleh duduk dalam pasukan pentadbiran kerajaan negeri pimpinan Azizan.
"Ia satu keputusan yang baik dicapai, kesemua mereka khususnya dua Exco yang terbabit telah menunjukkan persetujuan untuk bekerja sebagai satu pasukan... akan bersama dalam satu pasukan menghadapi pilihan raya umum, ini keputusan bersama dicapai," kata sumber kepimpinan Pas Pusat kepada Sinar Harian Online.
Ketika ditanya sama ada perkembangan itu bermakna kedua-dua Phahrolrazi dan Ismail akan kekal dalam barisan Exco Kerajaan Negeri, sumber itu hanya menjawab: "Itu saya tidak boleh mengulas."
"Apa yang boleh saya katakan sekarang ialah memang wujud perbezaan pandangan, mereka berada di gelanggang yang berbeza, tetapi bukan bertindak sebagai pembangkang.
"Itu sangat jelas. Dan, mereka sekarang setuju kembali bertindak sebagai satu pasukan, khusus bagi menghadapi pilihan raya umum dan mengekalkan kerajaan negeri Pakatan Rakyat," kata beliau lagi.
Pengumuman rasmi mengenai hasil akhir pertemuan lima jam ini belum diketahui.
Bagaimanapun Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub yang diberikan tanggungjawab sebagai 'duta khas' mencari jalan penyelesaian berkata, pihaknya akan memanggil sidang media dalam waktu terdekat, kemungkinan hari ini.
"Ada beberapa perkembangan baru sedang diteliti. Kami akan memaklumkan bila sudah bersedia untuk mengadakan sidang media," katanya ketika dihubungi.
Difahamkan kedua-dua Azizan dan Phahrolrazi, masing-masing diberi masa sejam untuk mengemukakan hujah dalam pertemuan dengan Salahuddin malam tadi.
Pertemuan khas misi damai yang diadakan kediaman rasmi Menteri Besar Kedah di Alor Setar, berlangsung lebih lima jam sehingga 3 pagi tadi.
Bagi Pas, salah satu anggota komponen Pakatan Rakyat, yang menerajui kerajaan negeri sejak Mac 2008, kontroversi terbaru ini adalah ujian paling besar menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), yang disebut-sebut akan diadakan bila-bila masa dari sekarang.
"Sudah ada keputusan, keputusan ini keputusan sebulat suara... ia akan diumumkan dalam waktu terdekat. Itu sahaja yang boleh saya cakap buat masa sekarang," kata beliau.
Pertemuan lebih lima jam itu dibahagikan kepada dua iaitu pertemuan Salahuddin dengan pemimpin-pemimpin yang menjadi fokus kontroversi, dan keduanya mesyuarat khas Jawatankuasa Kerja Pas Pusat.
Jawatankuasa Kerja Pas Pusat telah mengadakan satu mesyuarat khas bagi membincangkan kemelut kepimpinan Kedah ini, di ibu negara Khamis lalu.
Difahamkan pertemuan sesi pertama dipengerusikan oleh Salahuddin selama dua jam manakala mesyuarat khas Jawatankuasa Kerja Pas Pusat pula diketuai sendiri oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, bermula 12 tengah malam dan berakhir sekitar 3 pagi tadi.
Keperluan mengadakan pertemuan ini diputuskan pada mesyuarat khas Jawatankuasa Kerja Pas Pusat yang diadakan di ibu negara Khamis lalu susulan kunjungan misi khas oleh Salahuddin ke Kedah awal minggu lalu.
Dalam pada itu, laporan Bernama menyebut, buat pertama kali, Azizan dan Phahrolrazi dipertemukan oleh Pas Pusat yang campur tangan untuk menyelesaikan kemelut itu dengan mendengar penjelasan mereka di Seri Mentaloon.
"Mereka memberi kerjasama cukup harmoni dan profesional. Saya yakin jawatankuasa kerja Pas Pusat yang dipengerusikan presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan dapat mencari penyelesaian terbaik kepada masalah ini.
"Kami berpuas hati dengan penjelasan mereka. Keputusan jawatankuasa adalah muktamad dan mereka mesti akur," kata Salahuddin kepada pemberita selepas pendengaran itu selesai kira-kira tengah malam tadi.