Imam muda
Perhatian dunia tertumpu di Malaysia sejak tiga tahun lalu selepas tercetusnya idea menerbitkan program Imam Muda bagi memartabatkan status imam.

Program ini memberi pendedahan kepada masyarakat tanggungjawab sebenar imam di zaman yang penuh cabaran ini. Sehubungan itu, Astro Oasis, sekali lagi mencuri perhatian golongan muda untuk turut serta dalam Uji bakat Imam Muda musim ketiga secara online, bermula 19 hingga 31 Mac ini.

Memasuki musim ketiga, Imam Muda masih dengan misinya mencari pelapis dan melahirkan pemuda berwibawa, berintegriti dan kredibiliti bagi memikul tanggungjawab bukan sahaja sebagai imam malah sebagai pemimpin dalam masyarakat.

Sejak dilancarkan tiga tahun lalu, program ini mencetuskan fenomena tersendiri melalui televisyen, liputan media tempatan dan antarabangsa serta jaringan sosial di Internet.

Menurut Pengurus Saluran Astro Oasis, Hj Izelan Basar, pengaruh Internet dan jaringan sosial memberi kesan terhadap populariti program Imam Muda sejak musim pertama lagi.

Pihak produksi sentiasa menitikberatkan pendapat dan komen peminat menerusi laman Facebook rasmi Imam Muda yang kini berjumlah hampir 500,000 peminat selain tulisan di laman-laman web, video di Youtube dan jaringan sosial lain.

Setiap pandangan diberikan tanda sokongan dan menggambarkan keghairahan anak muda mendekati program berbentuk keagamaan menerusi platform yang lebih bersifat interaktif.

"Memasuki musim ketiga, kami berhasrat membawa masyarakat kembali mengenali peranan dan fungsi asas imam sama ada sebagai imam dalam pengurusan masjid mahupun imam yang memimpin solat berjemaah.

Pada masa sama kami ingin mendidik imam yang berfungsi sebagai seorang pemimpin bermula dengan mengetuai keluarga, masyarakat seterusnya ummah pada keseluruhannya. Kami percaya ramai anak muda berpotensi untuk diketengahkan dan berharap mereka lebih berani tampil ke hadapan," katanya.

Penyertaan terbuka pada lelaki Islam berumur 18 hingga 30 tahun dan peserta mestilah fasih berbahasa Melayu dan mempunyai latar belakang agama Islam yang baik.

Uji bakat melalui online diperkenalkan buat pertama kalinya pada musim ketiga ini. Peserta dikehendaki melayari www.imammuda.com.my untuk memuat turun borang.

Kemudian peserta dikehendaki merakam dengan video kamera dua bacaan dalam al-Quran seperti ditetapkan. Rakaman yang telah lengkap hendaklah dimuat naik ke laman Youtube melalui akaun yang dibuka peserta uji bakat sendiri. Borang yang lengkap berserta pautan video di Youtube hendaklah di email menerusi imammuda@astro.com.my. Ujibakat berlangsung mulai 19 Mac 2012 sehingga 31 Mac 2012.