Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat
KOTA BHARU – "Anggap saya artis". Demikian kata-kata Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mengajak masyarakat terutama yang beragama Islam menganggapnya sebagai artis supaya dakwah disampai lebih mudah difahami.

Menteri Besar Kelantan itu berkata, Islam itu sendiri adalah seni dan penyusunan perkataan di dalam al-Quran itu juga berseni sehingga dapat menarik perhatian tokoh-tokoh ternama.

“Artis sebenarnya perkara baik, iaitu orang yang menggunakan seni. Alangkah seronoknya jika saya juga dianggap sebagai artis. Saya seorang pendakwah, saya juga menggunakan seni iaitu seni pemikiran untuk memperkembangkan ajaran Islam.

“Mengajak orang untuk mendekati Islam terutamanya kepada umat Islam itu sendiri yang mungkin terlupa dengan ajaran agamanya,” katanya pada Sidang Media Selebriti Hari Hiburan Islam (Hai) di kediaman rasminya di sini, semalam.

Beliau turut melahirkan rasa kekecewaannya terhadap segelintir artis yang banyak dikaitkan dengan pakaian yang tidak menutup aurat serta terbabit dengan gejala penyalahgunaan dadah.

“Saya sangat dukacita apabila ‘kurniaan’ artis ini disalahgunakan sehingga dikait dengan banyak perkara maksiat. Hal ini disebabkan dunia diperintah dan dikuasai barat yang menjadikan pengertian artis ini lebih sempit dari sebenarnya.

“Seperi perkataan maksiat di tempat kita yang hanya diertikan sebagai perbuatan zina sedangkan maksud maksiat itu ialah menderhaka kepada Allah termasuk zina, tidak sembahyang, berjudi malah rasuah pun adalah maksiat,” katanya.

Sidang media itu diadakan sempena penganjuran sambutan Hai siri keempat oleh Kerajaan Negeri dengan menampilkan beberapa artis terkenal tempatan dan antarabangsa termasuk heroin filem Indonesia, Oki Setiana Dewi.
Oki berada di Dewan Konvensyen, Kelantan Trade Centre (KTC) di sini untuk program Bicara Selebriti bersama beberapa artis lain, antaranya Pendakwah, Kapten Hafiz Firdaus Abdullah dan Selebriti TV Al-Hijrah, Amin Idris semalam.