SAR diminta daftar dengan SABK
IPOH - Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan sekolah agama yang lain diminta supaya mendaftar sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) bagi membolehkan mereka menikmati insentif dan bantuan yang diperuntukkan kerajaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Mejar (B) Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, kerajaan masih membuka ruang malah menjemput semua SAR diserap masuk ke SABK untuk meningkatkan lagi tahap pembelajaran dan prasarana sekolah.
“Sekiranya SAR mendaftar sebagai SABK, sekolah-sekolah itu akan menikmati pelbagai kemudahan daripada peruntukan itu, kerajaan hanya pemudah cara.
“Mereka tidak perlu bimbang dengan alasan kurikulum mereka akan dikawal oleh kerajaan kerana pembelajaran tahfiz sedia ada di sekolah berkenaan akan terus dikekalkan malah dari segi pengurusan lembaga atau guru dikekalkan, yang ini ramai yang tak faham,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis perasmian Multaqa Guru Takmir, Guru Kafa dan Imam Negeri Perak di Dewan Bankuet, Bangunan SUK, semalam.
Menurutnya, Kerajaan Pusat akan menyediakan peruntukan bersesuaian jika SAR menjadi SABK, termasuk skim gaji guru yang sama dengan tenaga pengajar di sekolah kebangsaan.
“Kita juga sediakan pelbagai bantuan seperti guru terlatih, kemudahan pembelajaran, buku teks, biasiswa dan pembangunan infrastruktur turut akan diberi.
“Pendaftaran SABK akan memberi banyak faedah, kemudahan dan bantuan kepada guru, murid serta pembangunan infrastruktur berbanding sekarang,” katanya.