10 petani alami kerugian
SUNGAI MANIK - Kejadian banjir kilat telah menyebabkan kira-kira 10 petani di Parit 10D Sungai Kerwin, di sini, mengalami kerugian yang dianggar mencecah RM30,000 melibatkan kemusnahan kawasan sawah padi seluas 12 hektar.

Ketua Kampung Sungai Kerwin, Saidin @ Mohd Isa Jamri berkata, setiap petani memiliki 0.8 hektar sawah padi dan mengalami purata kerugian RM2,000 bagi setiap 0.4 hektar sawah padi yang rosak.

Menurutnya, kebanyakan penduduk menanam padi klon MR219 yang tidak lagi mempunyai harapan untuk hidup setelah terendam dalam air banjir yang melimpah dari Sungau Batang Padang, di sini, setelah hujan lebat berterusan selama dua hari.

“Akibat ban sungai pecah, air sungai yang melimpah masuk naik setinggi 0.3 hingga 0.6 meter dan telah menenggelamkan pokok padi berusia 40 hari. Pokok padi terbabit dijangka boleh dituai dalam tempoh tiga bulan lagi dan kejadian ini menyebabkan penduduk mengalami kerugian agak besar,” katanya kepada Sinar Harian.

Saidin berkata, penduduk pernah mengalami kerugian mencecah RM120,000 akibat banjir pada Mei tahun lalu, apabila seluas 20 hektar kawasan sawah padi mengalami kemusnahan.

Beliau turut menjangka keadaan sama akan berulang sekiranya hujan berterusan di sebelah hulu dan kerugian penduduk akan bertambah.

Seorang petani, Mat Nor Itam, 74 berkata, seluas 1.2 hektar kawasan sawah padi miliknya musnah menyebabkan kerugian kira-kira RM4,000.

“Ini merupakan kali ketiga tanaman padi yang saya usahakan musnah akibat banjir sepanjang dua tahun kebelakangan ini dan saya harap pihak kementerian berkaitan dapat memberi bantuan ehsan bencana alam kepada petani di sini,” katanya.

Seorang lagi petani, Ahmad Ismail, 68 berkata, dia hanya mampu melihat sawah padi seluas 1.2 hektar yang diusahakannya musnah dalam kejadian banjir, menyebabkan punca pendapatannya turut musnah.

Katanya, sawah padi berkenaan merupakan mata pencarian utama untuk menyara kehidupan bersama isteri, Asmah Elui, 67 dan dia tidak mempunyai sumber kewangan untuk memulihkannya.

Penghulu Mukim Sungai Manik, Jamaluddin Mohd Noor memaklumkan, beliau telah meminta ketua kampung menyenaraikan nama petani yang terjejas untuk dikemukakan kepada pentadbiran daerah bagi mengusahakan bantuan ehsan bencana alam.