Nik Abdul Aziz Nik Mat
KOTA BHARU – Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menjelaskan, kekeliruan orang ramai selepas Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengeluarkan kenyataan yang hanya menentang urus niaga dengan kerajaan Zionis yang menguasai tanah Palestin secara haram.

Nik Abdul Aziz berkata, Yahudi merupakan bangsa seperti bangsa-bangsa lain di dunia sedangkan Zionis sebagai ‘parti’ dalam Yahudi itu sendiri.

Katanya, Yahudi lain, Zionis lain kerana Zionis merupakan parti dalam Yahudi yang mempunyai agenda jahat sejak lebih 100 tahun lalu.

“Yahudi ni bangsa, bangsa tidak ada yang jahat tapi yang jahatnya ialah manusia, begitu juga Melayu dan Arab, Melayu dan Arab tidak jahat tapi yang jahatnya ialah perangai orang Melayu dan Arab itu sendiri.

“Orang Yahudi tidak minta untuk jadi Yahudi dan saya sendiri tidak nak jadi Melayu tapi bangsa saya bangsa Melayu, apa boleh buat,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan kelmarin mempertahankan kenyataan Abdul Hadi dengan mendakwa berurus niaga dengan Zionis bererti mengiktiraf kewujudan mereka.

Beliau juga kecewa kerana larangan mutlak ke atas pengimportan barangan dari Israel yang diletakkan di Jadual Pertama Perintah Kastam dipinda ke Larangan Bersyarat di bawah Jadual Kedua Perintah yang sama pada 26 Mei 1994.

Kenyataan Abdul Hadi sebelum ini mendapat respons daripada pimpinan Umno termasuk Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang menganggap Pas tidak konsisten apabila menyokong umat Islam bekerjasama dan menjalin hubungan dengan Yahudi.

Mohd Shafie berkata, kenyataan itu menunjukkan parti Pas menyimpang daripada prinsip asal mereka.

Ketika menjawab soalan media selepas sesi dialog program bersama pemimpin bagi mengutip dana menghadapi Pilihan Raya Umum ke 13 di Pusat Konvensyen Shah Alam Sabtu lalu, Abdul Hadi menegaskan, Pas tidak akan bekerjasama dengan negara yang mengamalkan fahaman Zionis.

Katanya, berniaga dengan Yahudi dibolehkan kerana Nabi Muhammad SAW juga pernah berurus niaga dengan bangsa itu ketika berada di Madinah.

Pas katanya, menolak Zionis kerana ia kefahaman anarki Yahudi yang menganggap bangsa Yahudi sebagai bangsa mulia serta menganggap bangsa lain adalah binatang.