Abd Rahman Bakri
SHAH ALAM - Mahkamah Sesyen hari ini mengarahkan Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Abd Rahman Bakri dan pembantu tadbirnya, Rosli Busro membayar denda RM400,000 setiap seorang bagi lapan pertuduhan yang disabitkan terhadap mereka.

Hakim Azhaniz Teh Azman Teh juga mengarahkan kedua-dua tertuduh dipenjarakan selama enam tahun bagi setiap kesalahan dan hukuman berjalan serentak bermula dari tarikh hukuman.

Beliau turut mengarahkan kedua-dua mereka menjalani hukuman penjara selama setahun bagi setiap hukuman denda sekiranya gagal membayar jumlah denda berkenaan.

Beliau memerintahkan hukuman tersebut selepas mendapati Abd Rahman, 47, dan Rosli, 44 bersalah atas lapan tuduhan menggunakan dokumen peruntukan palsu iaitu Surat Adun mengandungi butiran bagi tuntutan program dan aktiviti yang tidak pernah dijalankan.

Tuntutan itu membabitkan pembelian hadiah, cenderamata dan jamuan Program Motivasi Pelajar di Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Air Tawar; Program Mesra Rakyat dan Hari Keluarga di Dewan Simpang 4 Bagan Nakhoda Omar (BNO); Program Forum Perdana Peringkat Mukim BNO; Program Mesra Rakyat dan Sambutan Maulud Nabi dan Program Mesra Rakyat Hari Keluarga Guru Kemas.
Semua tuntutan palsu itu membabitkan RM80,000.
Dia melakukan kesalahan itu di Pejabat Daerah Sabak Bernam antara 21 Januari hingga 12 Februari 2008.
Bagi setiap pertuduhan, Abdul Rahman didakwa mengikut Seksyen 11(c) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, pembantu khasnya, Rosli, didapati bersalah atas tuduhan bersubahat dengan Abdul Rahman melakukan kesemua kesalahan itu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Abdul Razak Musa manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Datuk Salehuddin Saidin, Affifuddin Hafifi dan Lim Kon Keen.
Salehuddin memohon mahkamah supaya hukuman penjara dan denda ke atas anak guamnya ditangguhkan.
Azhaniz Teh kemudian membenarkan permohonan itu dan wang jaminan untuk Abdul Rahman semasa perbicaraan asal dinaikkan daripada RM30,000 kepada RM50,000 manakala Rosli dinaikkan daripada RM9,000 kepada RM30,000.
Sebelum itu dalam rayuan untuk mengurangkan hukuman, Salehuddin memohon mahkamah menggunakan budi bicara menggunakan peruntukan Seksyen 294 Kanun Prosedur Jenayah ke atas anak guamnya atas alasan mereka tidak mempunyai niat langsung untuk menyeleweng peruntukan yang dituntut itu.
Salehuddin berkata, mungkin terdapat kesilapan teknikal dalam cara kedua-dua tertuduh menuntut bayaran bagi program dan aktiviti berkenaan dari Pejabat Daerah dan Tanah Sabak Bernam, malah anak guamnya juga tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.
Abdul Razak pula berkata, mahkamah sepatutnya mengenakan hukuman setimpal ke atas kedua-dua tertuduh memandangkan kes yang dihadapi mereka melibatkan kepentingan awam.
Beliau berkata kedua-dua tertuduh menghasilkan resit palsu bagi tujuan membuat tuntutan bayaran bagi program yang tidak pernah dijalankan.
Seramai 39 saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan dipanggil memberikan keterangan sepanjang perbicaraan kes itu.