Abdul Hadi Awang
SHAH ALAM - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang malam tadi menjelaskan sebab parti itu tidak boleh bersama Umno walaupun sudah didesak dan dipujuk oleh parti teras Barisan Nasional (BN) itu beberapa kali sejak selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 2008.

Menurut Abdul Hadi, perkembangan sejak Pas mengambil alih Kelantan pada tahun 1990 adalah antara punca ia tidak boleh bersama dengan Umno.

Pada muktamar-muktamar sejak PRU 2008, Pas membuat pendirian akan bersama PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat (PR).

"Apabila Pas memerintah Kelantan, kerajaan pusat telah melambat-lambatkan 'capitation grant' kepada kerajaan negeri Kelantan dengan satu alasan sahaja iaitu mendera Pas.

"Apabila Pas menang di Terengganu, atas desakan perwakilan di mesyuarat agung Umno, Kerajaan Pusat telah merampas royalti minyak yang menjadi hak rakyat Terengganu.

"Apakah kerajaan Kelantan dan Terengganu ini China ke India... bukankah ini kerajaan Melayu jika mereka kata nak bersatu atas nama Melayu," kata beliau dipetik Harakahdaily hari ini.

Abdul Hadi berucap pada Majlis Makan Malam Bersama Pemimpin anjuran Muslimat Pas Pusat di sini, malam tadi.

Pas memimpin Kerajaan Terengganu antara 1999 dan 2004.

Kerajaan Kelantan berada di bawah kepimpinan Pas sejak 1990 dengan Menteri Besarnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Nik Abdul Aziz juga hadir pada majlis makan malam semalam.

Abdul Hadi seterusnya berkata: "Semasa Kerajaan Sabah dimenangi oleh PBS pun, Kerajaan Pusat tidak menyekat royalti minyak kepada Sabah." 

Abdul Hadi yang juga bekas Menteri Besar Terengganu memberitahu bahawa bagi beliau, Melayu akan maju dan bermaruah dengan Islam tetapi yakinlah Melayu akan layu tanpa Islam dan hanya dengan Melayu sahaja.

Ahli Parlimen Marang ini juga membangkitkan hubungan Pas dengan Umno dalam kerajaan persekutuan ketika ia menyertai BN susulan peristiwa 13 Mei 1969.

Ia pula dibuat hasil dari satu keputusan yang dicapai dalam satu muktamar khas yang dianjurkan oleh Pas.

"Kita berusaha melaksanakan Islam dalam pentadbiran dan berjaya membuat banyak perkara juga tetapi apabila kita mahu laksana Islam lebih jauh, pergeseran berlaku.

"Hasilnya Pas ditendang keluar dari BN," kata Abdul Hadi mengibau peristiwa 1978 apabila Pas ditendang keluar dari BN.

Beliau menjelaskan isu itu panjang lebar selepas ditanya oleh salah seorang peserta majlis makan malam itu kenapa Pas tidak bersama dengan Umno padahal Umno bertalu-talu berusaha mahu bersama Pas.