Gaza
GENTING GAZA - Usaha Mesir sebagai pengantara untuk mengadakan gencatan senjata bagi menghentikan ketegangan selama empat hari yang berlaku antara Israel dan Palestin sejak minggu lalu sehingga mengorbankan puluhan orang dilihat gagal.
Ini kerana, pasukan tentera rejim Zionis dan kumpulan militan di Gaza didakwa masih berbalas serangan sehingga kelmarin.

Pegawai keselamatan Palestin menyatakan tentera Israel telah melancarkan serangan di sebuah ladang berhampiran Bandar Gaza dan kawasan tidak berpenghuni di selatan Khan Yunis.

Tentera rejim sekali lagi menegaskan kononnya serangan balas dilancarkan selepas bandar Beersheva di selatan negara itu dibedil roket dari Genting Gaza.
“Serangan pada kali ini menyasarkan tapak melancarkan roket dan terowong di selatan Genting Gaza,” menurut kenyataan tentera Israel.

Selasa lalu, kumpulan Jihad Islam dan Israel mencapai persetujuan menyeluruh disertakan jaminan penuh untuk melaksanakan gencatan senjata berikutan perjanjian sebelum ini yang sering sahaja bermula dengan goyah.

Menurut Kementerian Kesihatan Palestin, keganasan yang tercetus sejak Jumaat lalu telah meragut 26 nyawa termasuk beberapa kanak-kanak di Gaza.

Dalam satu kenyataan lain, perdana menteri Benjamin Netanyahu telah menuduh Iran sebagai pihak bertanggung jawab membiayai dan membekalkan senjata kepada Palestin untuk melancarkan serangan ke atas Israel.