14 remaja direjam kerana imej Emo
BAGHDAD - Sekurang-kurangnya 14 remaja di Iraq maut akibat direjam dengan batu sejak tiga minggu lalu kerana mengenakan potongan rambut pelik dan pakaian menampilkan imej Emo (berseluar ketat serta memakai simbol tengkorak) yang didakwa berunsur amalan pemujaan syaitan.
Tindakan mengerikan itu diambil di kawasan kejiranan puak Syiah di Baghdad selepas Kementerian Dalam Negeri menggesa pihak berkuasa mengenakan hukuman ke atas pengikut Emo yang terpengaruh dengan budaya dari Barat itu pada bulan lalu.
Enam lagi remaja termasuk dua perempuan dilaporkan cedera akibat dipukul sebagai amaran supaya mereka meninggalkan imej pelik dan kebaratan.
Gambar mangsa yang terkorban tersebut turut dipaparkan di dalam laman sosial Facebook dan ia turut mencetuskan kebimbangan dalam kalangan remaja lain di negara itu.
Sementara itu, seorang ahli Parlimen, Saffiyah al-Suhail berkata, pada minggu lalu, beberapa pelajar telah ditahan kerana memakai seluar jean buatan Amerika dan meniru gaya potongan rambut seperti orang Barat.
Bagaimanapun, dalam satu kenyataan, pemimpin tertinggi Syiah, Ayatollah Ali al-Sistani mengkritik tindakan merejam sampai mati tersebut dan menyifatkannya sebagai perbuatan ganas ke atas remaja.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan