Palestin kemuka 20 tapak warisan
RAMALLAH - Palestin, kelmarin berhasrat untuk mengemukakan senarai 20 lokasi di Baitulmaqdis, Tebing Barat dan Gaza yang mungkin boleh diisytiharkan sebagai tapak warisan dunia kepada Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).


Ketua jabatan PBB di Kementerian Luar Palestin, Omar Awadallah berkata, dalam tempoh beberapa hari mereka akan menghantar senarai kepada Jawatankuasa Tapak Warisan Dunia mengikut undang-undang konvensyen.

Langkah itu diambil selepas badan PBB tersebut mengiktiraf keanggotaan Palestin pada akhir Oktober lalu walaupun mendapat bantahan Amerika Syarikat (AS) dan Israel.

Lokasi yang dipilih termasuk tempat kelahiran Nabi Isa AS dan beberapa lokasi bersejarah di Baitulmaqdis.

“Senarai akhir akan dibentangkan semasa mesyuarat tahunan jawatankuasa tersebut pada Jun depan dan kami berharap struktur bersejarah di Palestin akan diisytiharkan sebagai Tapak Warisan Dunia,” menurutnya.