Kanak-kanak yang cedera dalam serangan Israel ini dirawat di hospital, semalam.
BANDAR GAZA - Israel berterusan melancarkan serangan udara pada hari keempat, semalam menyasarkan pangkalan kumpulan militan, Jihad Islam di Genting Gaza dalam pertempuran yang semakin meningkat dan seakan mencabar usaha antarabangsa untuk mengenakan gencatan senjata ke atas mereka.

Pertempuran sejak Jumaat lalu telah mengorbankan 20 nyawa termasuk 18 militan.

Rejim Zionis mendakwa mereka membedil pusat simpanan senjata milik kumpulan Jihad Islam dan turut menyebabkan dua terbunuh di lokasi berbeza serta tiga lagi dilaporkan cedera.

Pegawai kesihatan Gaza, Adham Abu Salmia berkata, puluhan penduduk di Bandar Gaza termasuk beberapa kanak-kanak juga cedera dalam serangan itu.

Dalam satu kenyataan, jurucakap polis Israel, Micky Rosenfeld berkata, serangan balas tersebut dilancarkan kononnya selepas Gaza membedil 11 roket ke selatan Israel pada awal pagi semalam.