16 mati ditembak, Taliban mahu balas askar AS
KABUL - Kumpulan Taliban, semalam berikrar untuk membalas dendam di atas tindakan kejam seorang tentera Amerika Syarikat (AS) yang membunuh 16 orang termasuk sembilan kanak-kanak dan tiga wanita di kampung Alkozai di daerah Panjwayi, wilayah Kandahar.
"Kami (Taliban) akan membalas dendam untuk setiap nyawa yang terkorban di tangan 'pengaman AS' yang sentiasa dahagakan darah penduduk tidak berdosa di negara ini," menurut kenyataan kumpulan militan tersebut menerusi laman sesawang rasmi mereka.
Insiden, kelmarin itu didakwa akan meningkatkan lagi ketegangan antara AS dan Afghanistan iaitu beberapa minggu selepas kejadian tentera asing membakar Al-Quran di pangkalan tentera di Bagram.
Suspek kini telah ditahan di pangkalan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) dan dipercayai bertindak secara sendirian dengan memecah masuk tiga buah rumah secara tiba-tiba semasa penghuninya sedang nyenyak tidur.
Beberapa saksi mendakwa, askar tidak berperikemanusiaan itu turut menuang bahan kimia ke atas mayat mangsa sebelum membakarnya dengan kejam.
Dalam satu kenyataan, Presiden Hamid Karzai bertindak mengutuk serangan tersebut dan menuntut AS memberi penjelasan terhadap tindakan kejam tenteranya itu.
Presiden Barack Obama sekali lagi memohon maaf atas tindakan biadab tenteranya dan mendakwa tindakan luar biasa suspek tidak mencerminkan imej sebenar askar negara tersebut yang kononnya menghormati penduduk di Afghanistan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan