Nik Abdul Aziz Nik Mat
SHAH ALAM - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan sesiapa sahaja yang "beragama Islam yang soleh" boleh memimpin Pas, tidak kira kaum atau bangsa.
"Saya ingin mengulangi penegasan saya bahawa sesiapa sahaja yang merupakan Muslim yang soleh boleh memimpin Pas sekalipun bukan berbangsa Melayu kerana bangsa tidak mempunyai apa-apa nilai di sisi ALLAH SWT," kata beliau menerusi Facebook hari ini.
Sehubungan itu kata beliau, untuk apa berbangsa Melayu jika masih mengeluarkan kenyataan yang mencerminkan kejahilan terhadap undang-undang ALLAH SWT?
Tanpa merujuk kepada nama, Menteri Besar Kelantan berkata, beliau juga bersimpati dengan salah seorang bekas pemimpin negara yang "rupanya masih meraba-raba."
Dalam ulasannya, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan kesediaan Pas untuk melantik Timbalan Presiden daripada kalangan bukan Islam sebagai 'langkah terbaik'.
Justeru beliau menyindir, Penasihat DAP, Lim Kit Siang sepatutnya dilantik menjadi Presiden Pas.
“Dulu Pas kata kita kafir, sekarang mereka nak terima orang bukan Islam sebagai pemimpinnya.
“Dulu Pas kata kita kerjasama dengan kafir. Setakat mana pemimpin bukan Islam dalam Pas? Sepatutnya, Lim Kit Siang menjadi Presiden Pas kerana beliau rakyat Malaysia yang mengutamakan Islam,” katanya merujuk kepada Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad kelmarin, berpendapat bahawa Pas bersedia menerima seorang Timbalan Presiden daripada kalangan bukan Islam sekiranya ia satu keperluan dan ada tuntutan seperti yang dilakukan parti Ikhwanul Muslimin di Mesir.
Dzulkefly berkata, dalam Islam terdapat dua perkara iaitu perkara tetap dan perkara yang boleh berubah. Contoh perkara yang boleh berubah ialah perkara politik.