tuan ibrahim tuan man
SHAH ALAM – Pas menegaskan pihaknya tidak pernah masuk campur dalam isu saman Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap bekas rakan karibnya, Senator Datuk S Nallakarupan.

Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, isu itu tidak pernah ditimbulkan dalam mana-mana mesyuarat Pas sebelum ini.

“Jika ada pihak yang menuduh Pas mendesak Datuk Seri Anwar, itu tidak betul, kita tidak pernah bincang hal ini dan kita juga tidak mahu masuk campur dalam hal ini.

“Pada pandangan Pas, isu itu adalah masalah peribadi antara Datuk Seri Anwar dan Datuk Nallakarupan,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Tuan Ibrahim, Anwar berhak untuk menyaman sesiapa sahaja jika beliau merasakan perkara itu tidak benar dan tindakan itu mampu membersihkan maruahnya terhadap tuduhan yang dilempar.

Semalam, bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan, Senator Ezam Mohd Noor mendakwa Anwar memfailkan notis mahkamah terhadap Nallakarupan dan sebuah akhbar baru-baru ini kerana desakan dalaman Pakatan Rakyat (PR).

Dakwannya lagi, sejak 2004 lagi, Anwar sering dituduh sebagai seorang homoseksual dan mengamalkan hidup biseksual, namun kali ini barulah beliau berani mengugut untuk saman.

Menurut Ezam, ini adalah kerana tekanan dalaman, khususnya daripada pemimpin Pas yang semakin sangsi dan mahukan Anwar membersihkan namanya secepat mungkin.

“Daripada maklumat sahabat saya dalam PR, Anwar berani kali ini kerana beliau mahu membendung desakan daripada pemimpin Pas, selain mahu menunjukkan beliau ada melakukan sesuatu.

“Jadi apa yang Anwar boleh buat adalah saman. Dulu mungkin Anwar selamat kerana pemimpin Pas tidak desak, tetapi sekarang beliau kena pertahankan dirinya,” katanya.

Menurut Naib Presiden PKR, N. Surendran, Anwar melalui firma Edwin Lim Suren & Soh menghantar surat tuntutan bagi meminta akhbar terbabita menarik semula berita itu, memohon maaf dan membayar ganti rugi sebanyak RM100 juta.