Pelajar wanita Islam maut, 4 cedera letupan di selatan Thai
BANGKOK - Seorang pelajar wanita Islam terbunuh manakala empat rakannya cedera dalam satu kejadian letupan yang berlaku di tepi jalan di Pattani.
Ketua Polis Yarang Kolobel Tuandir Jutthanand berkata Hapisah Sadek, 18, seorang pelajar Tingkatan Enam Ma'had Assaqofah meninggal dunia selepas serpihan bom terkena kepala dan badannya.
Dalam kejadian itu, bom yang ditanam di tepi jalan, meletup pada kira-kira 11.30 malam ketika kelima-lima pelajar berkenaan yang menaiki tiga motosikal melalui Kampung Tua, Pintu Mudi dalam daerah Yarang.
"Bom itu dipercayai disasarkan terhadap tentera dalam sebuah bas namun terlepas apabila kenderaan itu memotong ketiga-tiga motosikal pelajar berkenaan ketika bom diletupkan menggunakan telefon mudah alih," katanya.
Adik Hapisah, Mariam yang berusia 16 tahun, cedera parah dan dirawat di Hospital Pattani manakala tiga lagi iaitu dua beradik Masitah Selamat dan Aesah Selamat, serta Mariam Deramae cedera ringan dan dirawat di Hospital Yarang.
Lebih 5,000 orang maut sejak puak pemisah dipercayai mengaktifkan semula kempen bersenjata mereka untuk mendapatkan kemerdekaan bagi tiga wilayah di selatan Thailand iaitu Narathiwat, Pattani dan Yala sejak lapan tahun lepas. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan