Remaja maut motosikal ditunggang bergesel dengan kereta
HUTAN MELINTANG - Niat seorang remaja mahu mengambil ibunya pulang dari tempat kerja tidak kesampaian apabila maut dalam kemalangan di Kilometer (KM) 17, Jalan Teluk Intan- Hutan Melintang, malam kelmarin.
Dalam kejadian jam 10 malam, motosikal jenis Ex5 yang ditunggang mangsa, Muhamad Azrul Hassan, 19, bertembung sebuah kereta jenis Proton Wira.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, siasatan awal mendapati, mangsa yang berasal dari Batu 17, Sungai Sumun menunggang bersendirian dari arah Teluk Intan ke Hutan Melintang.
Menurutnya, setibanya di jalan masuk ke Taman Wawasan Wira yang dipandu lelaki berumur 25 tahun itu membelok ke simpang kiri sebelum bergesel dengan motosikal yang datang dari arah bertentangan.
“Geselan itu menyebabkan mangsa tercampak ke atas jalan dan mengalami kecederaan. Bagaimanapun, mangsa meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Hutan Melintang untuk mendapatkan rawatan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.
Kok Liang berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk dibedah siasat dan jenazah dituntut keluarga mangsa, kira-kira jam 10 pagi semalam bagi urusan pengebumian.
Selain itu, pihaknya meminta mana-mana individu melihat kejadian kemalangan tersebut untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, di talian 05-6299222 untuk memberikan maklumat.
“Pihak kami menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian dan siasatan masih dijalankan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan