Polis Jakarta siapkan 22,000 anggota kawal demonstrasi kenaikan harga minyak
JAKARTA - Polis Kotaraya Jakarta mempersiapkan 22,000 anggota pasukan keselamatan termasuk 8,000 anggota tentera untuk mengawal ketenteraman awam berikutan rancangan demonstrasi besar-besaran oleh beberapa kumpulan masyarakat pada Selasa untuk membantah kenaikan harga minyak bersubsidi.
Demonstrasi itu dijangka diadakan sekiranya Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) membuat keputusan untuk menerima keputusan Kerajaan Indonesia untuk menaikkan harga minyak bersubsidi sebanyak Rp1,500 seliter mulai bulan depan.
Ketua Perhubungan Awam Ibu Pejabat Polis Metro Jaya Pesuruhjaya Kanan Rikwanto berkata anggota pasukan keselamatan itu akan turut ditempatkan di kawasan penting seperti pelabuhan, lapangan terbang dan jalan tol.
Selain itu, katanya pasukan keselamatan juga akan mengawasi 540 stesen minyak di Jakarta dan kawasan sekitarnya serta mengawal kawasan depot syarikat minyak negara Pertamina.
Katanya setakat ini Ibu Pejabat Polis Metro Jaya telah menerima makluman bahawa 8,000 anggota masyarakat bercadang mengadakan demonstrasi membantah rancangan kenaikan harga minyak bersubsidi itu.
Penunjuk perasaan bercadang mengadakan demonstrasi di ibu kota Jakarta dan kawasan sekitarnya terutamanya di kawasan Bulatan Hotel Indonesia dan di luar Istana Presiden serta bangunan Parlimen Indonesia.
Polis telah menasihatkan kumpulan yang bakal mengadakan demonstrasi itu supaya memastikan tindakan mereka itu dijalankan secara aman, katanya.
Sementara itu, Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono di sela-sela Sidang Kemuncak Keselamatan Nuklear Ke-2 di Seoul, Korea Selatan, telah mengeluarkan arahan kepada Polis Indonesia dan agensi berkaitan supaya menjangkakan demonstrasi di Indonesia, pada Selasa.
Jurucakap presiden, Julian Aldrin Pasha berkata di Seoul pada Isnin bahawa presiden sentiasa memantau keadaan di tanah air sepanjang lawatannya ke luar negara sekarang.
Dalam arahan itu, Susilo meminta pihak polis menangani demonstrasi itu kelak dengan bijaksana bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.
Semalam, Parti Gerindra telah menyeru kerajaan tidak menggunakan kekerasan dalam usaha mengawal demonstrasi bagi membantah rancangan kerajaan untuk menaikkan harga minyak bersubsidi itu.
Demonstrasi serupa telah banyak berlaku sejak akhir-akhir ini di Jakarta dan beberapa bandar lain di seluruh negara.
Pada Isnin di bandar Yogyakarta, ratusan mahasiswa yang bergabung dalam Gerakan Mahasiswa Pembebasan Yogyakarta berdemonstrasi membantah kenaikan harga minyak itu di perkarangan bangunan Dewan Undangan Negeri Yogyakarta.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan